|
ADUN(N14)/DUN/07/10/002
Yang Berhormat Datuk Juhar Haji Mahirudin,
Speaker Dewan Undangan Negeri,
Aras 4, Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah,
Jalan Sulaman, Teluk Likas,
88817 KOTA KINABALU, SABAH,
19hb. Julai, 2010
7 Sya'aban, 1431H
Datuk Speaker,
MERUJUK PERATURAN TETAP 31
USUL MEMINTA KERAJAAN NEGERI SABAH
MEMBENTANGKAN KERTAS PUTIH KEATAS SAHAM AMANAH SABAH(SAS)
DIBAWAH PERATURAN TETAP 17(2)
Saya, Datuk Liew Teck Chan, Ahli Dewan Undangan Negeri, kawasan N. 14
Likas, ingin mengemukakan usul dibawah Peraturan Tetap 31(3) seperti
tersebut diatas untuk pertimbangan Datuk Speaker.
Sepertimana Datuk Speaker sedia maklum usul ini pernah saya kemukakan pada
persidangan yang lalu tetapi tidak dapat disempurnakan. Usul saya telah
terbatal dengan alasan "defeated by time".
Saya amat kecewa atas tindakan yang berlaku yang tidak pernah digunakan
untuk mengelak sebarang usul ‘unprecedented decision to avoid any motion',
sedangkan usul saya telah pun diterima dan telah dimasukkan kedalam urusan
mesyuarat pada persidangan yang lalu dan ia sepatutnya dibentangkan dalam
Dewan Undangan Negeri untuk mendapatkan ketetapan oleh Ahli-Ahli Dewan.
Oleh hal yang demikian, saya sekali lagi mengemukakan usul tersebut diatas
supaya dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri pada persidangan kali ini.
Usul:-
Usul ini bertujuan untuk meminta Kerajaan Negeri mengambil ketetapan
bahawa suatu kertas putih keatas Amanah Saham Sabah dibawah peraturan
tetap 17(2) dibentangkan di Dewan Undangan Negeri untuk menjelaskan
kedudukan sebenar pengujudan Amanah Saham Sabah dan sebab-sebab kejatuhan
nilai Saham Amanah Sabah pada tahun 1997 dan 1998.
Penjelasan ini amat penting disebabkan beberapa factor seperti berikut:-
a) Menjadi Pertikaian tentang kedudukan Amanah Saham Sabah daripada
pemimpin-pemimpin Parti Bersatu Sabah(PBS), samada semasa menjadi parti
pembangkang dahulu ataupun pada masa sekarang sebagai parti komponan dalam
Kerajaan Barisan Nasional;
b) Pemimpin-pemimpin PBS khususnya 1) Timbalan Presiden yang juga Menteri
Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri merangkap ADUN
N. 15 Api-Api, 2) Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Sumber dan
Teknologi Maklumat, Encik John Lim, 3) Naib Presiden PBS, Pembantu Menteri
Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna merangkap ADUN N. 7
Kedamaian, 4) Ketua Penerangan PBS yang juga Timbalan Speaker Dewan
Undangan Negeri, 5) Ahli Majlis Tertinggi PBS Kapitan Cina Chin Teck Min
merangkap Pemimpin Kemajuan Rakyat Luyang, telah berkali-kali membuat
tuduhan dan pertikaian didalam akhbar-akhbar tempatan terhadap bekas Ketua
Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, seolah-olah kejatuhan
Saham Amanah Sabah pada tahun 1997 dan 1998 mempunyai unsur-unsur
penyelewengan dan keselahan.
c) Mereka juga telah mengelirukan rakyat seolah-olah bekas Ketua Menteri
berkenaan telah melakukan kesalahan dan terlibat secara langsung dalam
menentukan pelaburan Saham Amanah Sabah ke dalam Syarikat-syarikat
tertentu pada ketika itu.
d) YAB Ketua Menteri telah membuat kenyataan Akhbar bahawa isu Saham
Amanah Sabah adalah perkara remeh "Petty Issue", tetapi mereka masih
membuat kenyataan-kenyataan berterusan yang mengelirukan rakyat dan member
tafsiran, seolah-olah kejatuhan Saham Amanah Sabah adalah suatu
penyelewengan oleh bekas Ketua Menteri itu.
e) Pemimpin-pemimpin PBS berkenaan adalah terdiri daripada anggota kabinat
Negeri, anggota-anggota pentadbiran kerajaan Negeri Sabah. PBS adalah
Parti Komponan BN yakni Parti Pemerintah, seharusnya mendedahkan Kebenaran
kepada rakyat atas isu kejatuhan Saham Amanah Sabah pada masa krisis
ekonomi Asia dan kegawatan ekonomi Negara pada tahun 1997 dan 1998 dan
bukannya memutar-belit fakta dan bermain politik sempit.
f) Mereka juga harus berani dan bertanggungjawab mendedahkan apa-apa
penyelewengan jika ada untuk kepentingan awam. Pemimpin-pemimpin PBS
sebagai anggota kerajaan dan komponan BN telah membuat kekeliruan kepada
pemegang Saham Amanah Sabah dan orang awam. Mereka tidak mendedahkan
apa-apa perkara yang dalam pengetahuan mereka tetapi memilih untuk memberi
gambaran bahawa ada penyelewengan dan kesalahan dalam pengurusan Saham
Amanah Sabah pada tahun 1997 dan 1998.
Maka dalam pada itu, saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri
membentangkan satu kertas putih dalam Dewan Undangan Negeri untuk memberi
penjelasan sepenuhnya tentang kedudukan sebenar mengapa Saham Amanah Sabah
mengalami kemerosotan dan kejatuhan Saham pada tahun 1997 dan 1998.
Kertas putih ini akan menjadi asas bagi pihak-pihak yang berwajib untuk
mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ada apa-apa penyelewengan dan
kesalahan yang dilakukan oleh sesiapa sahaja dalam mengendalikan Amanah
Saham Sabah sejak ia diwujudkan.
Saya mohon agar Usul ini dapat diberi pertimbangan sewajarnya demi
kepentingan orang awam dan pemegang-pemegang Saham Amanah Sabah.
Sekian dan Terima Kasih.
Yang ikhlas,
( YB. DATUK LIEW TECK CHAN )
ADUN N. 14 Likas |