Usul Kertas Putih SAS di tolak
KOTA KINABALU,
Ogos 4, 2010: Dewan Undangan Negeri mengambil langkah yang tidak pernah
berlaku sebelum ini pada Selasa apabila ia membenarkan usul pembangkang
Adun Likas, Datuk Liew Teck Chan menggesa supaya Kertas Putih mengenai
kejatuhan harga unit Saham Amanah Sabah(SAS) dibahaskan.
Dibentangkan oleh Liew di bawah Peraturan Tetap31(3) sejurus selepas sesi
soal jawab berakhir, usul itu bagaimanapun, ditolak sebulat suara oleh
ahli-ahli Dewan setelah dibahaskan selama lebih dua jam.
Perbahasan itu pada dasarnya adalah antara SAPP Parti Bersatu Sabah dan
mantan wakil-wakil SAPP.
Mereka ialah Adun SAPP Luyang, Melanie Chia, Adun DAP Sri Tanjung, Jimmy
Wong, Timbalan Presiden PBS yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan
Teknologi Maklumat, Datuk Dr Yee Moh Chai dan Pembantu Menteri Pembanguna
Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Herbert Timbon Lagadan yang juga
Naib Presiden PBS.
Ketika sesi persidangan sebelum ini, Liew yang juga Timbalan Presiden SAPP
pernah membentangkan usul yang sama tetapi tidak dibenarkan atas alas an
teknikal "kesuntukan masa".
Membuat penggulungan bagi Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN), Menteri
Pembangunan Perindustrian Datuk Raymond Tan berkata, usul itu tidak
sepatutnya dibenarkan berdasarkan Peraturan tetap 17(1) dan17(2).
Berdasarkan peraturan tetap dewan, katanya seseorang ahli dewan tidak
layak untuk meminta atau mengarahkan Kerajaan mengeluarkan Kertas Putih
kerana hanya Speaker atau Menteri yang boleh berbuat demikian.
Lagipun, katanya, mengikut definisi Kertas Putih yang dapat dikaitkan di
semua Parlimen Komanwel, adalah dokumen yang dikeluarkan oleh Kerajaan
sebagai penyata dasar, dan sering menggariskan cadangan bagi perubahan
perundangan, yang boleh dibahaskan sebelum satu-satu Rang Undang-Undang
diperkenalkan.
Ia juga membolehkan Kerajaan mengumpul maklum balas sebelum dasar
dilaksanakan.
Walaupun begitu, Tan berkata, Kerajaan BN Negeri ,mengambil keputusan untuk
membenarkan usul itu dibahaskan "kerana kita adalah sebuah Kerajaan yang
telus".
"Kami boleh minta apa sahaja, kami telus, itulah sebabnya kenapa walaupun
Likas tidak layak untuk memintanya, kami benarkan juga," katanya, sambil
menambah, adalah tidak perlu bagi ahli-ahli dewan membahas dan
mengeluarkan Kertas Putih kerana segala maklumat boleh diperoleh oleh ahli
dewan itu.
Tan juga mantan Timbalan Presiden SAPP berkata, beliau juga terkejut
apabila mendapati alasan yang diberikan Liew dalam membentangkan usul itu
adalah kerana ia hanya menyebut lima pemimpin PBS yang tidak disenangi
partinya dan tidak ada daripada LDP dan UMNO.
Katanya, Liew juga meminta Kerajaan memberitahu perkara sebenar sama ada
kejatuhan harga unit SAS itu berpunca daripada krisis kewangan Asia
1997-1998 "tetapi kamu sudah tahu jawapannya".
Katanya, mantan rakan partinya, Adun Luyang, Melanie Chia dalam ucapan
perbahasannya sudah mejelaskan krisis kewangan itu.
Pada ketika itu,Chia meminta pejelasan sama ada Tan mengesahkan bahawa
kjatuhan harga SAS itu disebabkan krisis kewangan Asia tersebut.
"Mungkin apa yang telah dijelaskan oleh Luyang itu tidak diterima
sepenuhnya oleh rakyat," katanya.
"Sebenarnya saya bersimpati dengan Likas dan Luyang … saya tahu semua kita
di dalam dewan ini adalah bersahabat walaupun mungkin ada yang sedikir
kasar. Tetapi saya tahu, jika mereka tidak bersuara mereka akan dimarahi
apabila balik ke ibu pejabat SAPP.
"Saya tahu, orang yang terus menerus meminta Kertas Putih itu bukannya
mereka (Liew dan Chia) tetapi seorang mantan Ketua Menteri dan presiden
parti mereka," katanya.
Tan adalah antara beberapa orang pemimpin SAPP yang membuat keputusan
untuk kekal bersama BN apabila SAPP diketuai Presidennya Datuk Yong Teck
Lee keluar daripada gabungan yang memerintah itu pada 17 September dua
tahun lalu.
Sebagai seorang mantan Timbalan Presiden SAPP, Tan berkata, beliau
menggesa Chia dan Liew "melawan beliau (Yong) dan beritahu beliau yang
Kertas Putih tidak akan dapat memberi jaminan politik kepadanya."
Bagaimanapun,Chia menjawab, mereka bukannya menggunakan perbahasan itu
untuk menyatakan sama ada mantan ketua menteri itu betul ataupun salah
tetapi mereka mahu Kertas Putih itu meminta Kerajaan Negeri bercakap benar
tentang SAS.
"Adakah kamu pasti yang ini (usul itu) tidak meliputi presiden
kamu?" tanyaTan.
"Buat dulu Kertas Putih itu," tegas Chia.
"Kertas Putih ini benar-benar menghantui fikiran kamu," jawab Tan.
"Beritahu dunia yang sebenarnya," kata Chua.
"Jika kamu kata ia tidak ada kena mengena denganYong Teck Lee (tetapi)
dalam usul kamu ada disebut yang Kertas Putih itu adalah untuk
membersihkan nama Datuk Yong Teck Lee yang seolah-olah dilibatkan,"
katanya, sambil tidak membenarkan Adun Likas itu menjawab.
Tan berkata, Kerajaan BN Negeri bukannya hendak menjelaskan sesuatu yang
telah lama dilakukan tetapi apa yang penting ialah rakyat diberi keutamaan.
Adun Sri Tanjung Jimmy Wong yang cuba mencelah untuk kali kedua berkata,
beliau hanya mahu menyokong bahawa rakyat harus diberi keutamaan.
"Jika Kamu menyokong BN kenapa kamu tidak menyertai kami … mari sini,"
kata Tan sambil disambut gelak ketawa.
"Kita berada di sini bukannya untuk mengutamakan kepentingan individu tetapi
rakyat … jadi saya cadangkan supaya usul itu ditolak," kata Tan.
Sejurus selepas usul itu ditolak oleh ahli-ahli Dewan melalui undi lisan,
Speaker Datuk Juhar Mahiruddin menangguhkan persidangan dua hari itu ke
satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, pada pukul 1.25 tengah hari. |