Bila SPRM Akan Panggil Raymond Tan?
BILAKAH Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Menteri
Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah untuk memberi
keterangan berhubung pemilikan aset hartanah yang melebihi kemampuannya
sebagai seorang menteri Kabinet Sabah?
Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zainuddin
Hassan ketika menghubungi Sabahkini.net daripada Sandakan menegaskan
bahawa beliau dimaklumkan melalui sumber rapat dengan menteri kabinet
berkenaan bahawa Raymond Tan memiliki lebih sepuluh buah rumah bernilai
RM20 juta.
"Kita mengesan Raymond juga memiliki dua buah bungalow mewah bernilai
RM3.3 juta seunit di D’Banyan Sutera Harbour selain rumah mewah di Taman
Tyng Sandakan dan Liang Court Kota Kinabalu," dakwa Zainuddin yang
memaklumkan akan membuat pendedahan jika SPRM berminat untuk menyiasat
pemilikan harta luar biasa yang tidak diisytiharkan kerana kebanyakannya
dibuat atas nama proksi.
Kata Zainuddin, hanya 14 Unit Villa Petrusa tiga tingkat di D’Banyan
Sutera Harbour bernilai antara RM3.115 juta sehingga RM3.983 juta setiap
unit seluas 626 meter persegi atau 6,743 kaki persegi adalah villa mewah
yang mempunyai kelengkapan serba canggih.
Perkara ini bukan lagi rahsia, kata Zainuddin, namun SPRM tidak mempunyai
mekanisme untuk mengesan kepentingan Raymond dan pemilikan harta yang
dibuat daripada sumber yang diragui.
"SPRM hanya dilatih untuk memburu pemimpin pembangkang namun menjadi
kucing siam peliharaan pemimpin BN. Mereka hanya menghabiskan wang rakyat,
apatah lagi tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat sebelum atau selepas
waktu pejabat," ujar Zainuddin lagi yang menekankan betapa mewahnya
Raymond walaupun hanya menjadi Menteri Kabinet atau bertaraf Exco sahaja.
Oleh: JAMIL NASRAH (sabahkini)
|