Kabinet Persekutuan baru berpusat Malaya

KOTA KINABALU, 21 Mei 2018: Kabinet Persekutuan yang baharu dilantik adalah “berpusat Malaya”, kata bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee.

“Penjelasan yang diberikan oleh Kuala Lumpur ialah bahawa Sabah dan Sarawak akan diambil kira dalam kumpulan kedua Menteri-Menteri.

“Apa yang dimaksudkan dalam perkara ini ialah Malaysia akan membentuk Kabinet terlebih dahulu. Borneo boleh turut serta kemudian.

“Ini adalah gambaran corak pemikiran 1957 dan 1963 – Malaya dibentuk terlebih dahulu. Dan Sabah serta Sarawak turut serta kemudian. Ini bukan konsep STATUS SETARA seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) bagi Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu lepas.

Berpegang kepada kata-kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa peruntukan jawatan-jawatan menteri (bermakna perkongsian kuasa dalam Malaysia pasca-Umno) adalah berdasarkan bilangan kerusi yang dimenangi oleh parti-parti, katanya tiga daripada 14 Menteri baru haruslah dari Sabah dan Sarawak.

Yong, yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), berkata ini adalah kerana Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah menang 121 daripada 222 kerusi parlimen.

Daripada jumlah itu, katanya, DAP, PKR dan calon-calon bebas masing-masing menang enam, empat dan dua kerusi di Sarawak.

“Di Sabah, DAP dan PKr masing-masing menang tiga kerusi sementara Parti Warisan Sabah menang lapan kerusi untuk keseluruhan 26 kerusi dari dua negeri di Malaysia Timur itu.

“SAPP menyuarakan perasaan rakyat Sabah dan Sarawak kenapa apa yang dipanggil sebagai Kabinet Malaysia itu sebenarnya adalah Kabinet Malaya. Pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Warisan itu tidak boleh bersuara kerana mereka tidak boleh menyinggung perasaan ketua-ketua mereka di Semenanjung.

“Jika mereka bersuara dan menyinggung perasaan ketua-ketua mereka di KL, mereka tidak akan mendapat jawatan dalam kerajaan persekutuan baru,” kata Yong, yang merupakan calon Ahli Parlimen tunggal dari SAPP, yang gagal dalam usahanya memenangi kerusi Kota Kinabalu.

Beliau menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak telah memainkan peranan-peranan penting dalam Pilihan Raya Umum ke-12 dan 13 pada 2008 dan 2013 kerana BN tidak akan menang pengundi di kedua-kedua negeri tidak menyokong pakatan ketika itu.

Dalam PRU14, katanya, PH tidak akan menang jika bukan kerana 26 Ahli Parlimen (daripada 56 Ahli Parlimen di Borneo) dimenangi oleh PH dan Warisan.

“Jika bukan kerana PH/Warisan di Sabah dan Sarawak, Najib masih lagi PM, Anwar masih di penjara dan Dr Mahathir masih pemimpin pembangkang.

“Saya akan terus bercakap mengenai kebenaran bahwa kedua-dua PH Sabah dan Warisan tidak boleh bersuara. Biar saya suarakan kekecewaan mereka,” kata Yong, sambil menambah bahawa SAPP telah berjanji untuk terus menghidupkan semangat mengenai hak-hak Sabah walaupun ia kalah dalam pilihan raya.

“Kita tidak boleh biarkan hak-hak Sabah terkubur dalam apa yang dipanggil sebagai system dua parti. Memandangkan parti-parti Malaysia di Sabah tidak boleh bercakap menentang ketua-ketua mereka di Malaya, biarlah parti-parti tulen Sabah bercakap bagi pihak mereka,” katanya.

Harian Ekspres