Pemuda SAPP: Pemansuhan Akta ISA adalah satu kesedaran?
Kota
Kinabalu, July 18, 2009: Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP), Edward
Dagul, berkata bahawa cadangan Tun Abdullah
Hj Ahmad Badawi meminta supaya kerajaan menimbang untuk memansuhkan Akta
ISA adalah satu kesedaran seperti orang baru bangun dari tidur, walau pun
demikian ia masih belum terlambat untuk melaksanakan pemansuhan tersebut.
"Sesungguhnya bahawa Tun
Abdullah Hj Ahmad Badawi mempunyai peluang yang amat baik bagi dirinya untuk mensyorkan dan melaksanakan supaya ISA di
mansuhkan apabila beliau jadi Perdana Menteri Malaysia. Isu ini telah
berlarutan sekian lama, dan ramai telah menjadi mangsa ISA, tetapi
kerajaan masih mempertahankannya sedangkan parti-parti politik di Malaysia
dan badan badan NGO dan berbagai pihak termasuk SUHAKAM dan Majlis Peguam
Malaysia telah meminta supaya ISA dimansuhkan semasa beliau jadi Perdana
Menteri.
"Mengapa selepas 100 meninggalkan jawatan sebagai PM baru tiba-tiba membuat
syor supaya ISA dimansuhkan? Dalam kenyataan beliau juga ada menyatakan
bahawa ISA menghalang hak asasi manusia dan ISA boleh disalah gunakan
untuk tujuan politik. Daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau, Ini
adalah suatu manifestasi seorang bekas Menteri Dalam Negeri dan Perdana
Menteri Malaysia dalam pengalamannya bahawa ISA telah mencabuli demokrasi
dan hak asasi manusia dan boleh disalahguna untuk tujuan politik pada
bila-bila masa diperlukan. Sebenarnya penyelahan kuasa Akta ISA ini sudah
menjadi lumrah oleh Kerajaan BN dan di ketahui umum dan amat tidak
disenangi oleh rakyat Malaysia.
"Pada masa kini sudah ada cukup undang undang dan akta bagi mengatasi
berbagai jenayah dan berbagai kesalahan terhadap seseorang yang melanggar
undang undang negara. Jika perlu undang-undang yang sedia ada
diperkemaskinkan dan dimantabkan supaya pencegahan terhadap mana mana
anasir yang cuba menggugat keselamatan dan ketenteraman awam dan negara
dapat dikawal dengan tanpa membelakangkan demokrasi dan hak asasi manusia,"
katanya. |